Ikhlas 3 (Akhir)

Salaam.

Entri ini adalah entri terakhir dari dua buah entri sebelumnya tentang ikhlas. Sila rujuk:

Ikhlas
Ikhlas 2

Diharapkan diakhir entri ini, kita semua lebih memahami tentang konsep ikhlas dan sedaya upaya cuba mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian kita.

Selamat membaca dan beramal!

****************************************************************************
IKHLAS 3

Dalam siri penulisan yang lepas, kita telah meneliti serba sedikit tentang apa itu ikhlas, syarat-syarat dalam memastikan amal kita diterima, cara-cara mewujudkan ikhlas dalam hati kita dan pintu gerbang ke arah niat yang betul.

Pada siri yang terakhir ini, penulisan ini in sya Allah akan mengupas tiga lagi aspek penting dalam usaha meletakkan keikhlasan didalam setiap amal kita. Kita akan meneliti riya’ dan bentuk-bentuknya, indikator keikhlasan dan terakhir resepi-resepi ikhlas.


RIYA’ dan BENTUK-BENTUKNYA

Kata riya’ berasal dari perkataan ru’yah (melihat) dan dalam konteks ini beerti merasa senang/seronok jika perbuatan dilihat orang.

Komplikasi perbuatan riya’ ini adalah sangat besar dan terkadang tidak kita fikirkan. Mari kita renungi firman Allah dalam sebuah hadith qudsi:

Aku adalah sekutu yang paling tidak membutuhkan persekutuan.Barangsiapa yang melakukan suatu amalan dengan mempersekutukan selain-Ku didalamnya, maka ia menjadi milik yang disekutukan dengan-Ku dan Aku sendiri bebas darinya

Perhatikan firman ini. Kita melakukan sesuatu amal dengan mengharap redha dan balasan baik dari Allah. Namun, jika kita sendiri melakukan amal dengan niat agar dilihat orang, dipanggil sebagai orang yang mulia, atau apa2 lagi niat yang lain, maka secara automatik, ianya bukan lagi amal kerana Allah dan Allah sendiri bebas darinya. Na’uzubillah!

Selanjutnya, kita renung pula sebuah sabda Baginda:

Sesungguhnya hal menakutkan yang paling aku takutkan pada umatku adalah syirik kecil.”

Para sahabat bertanya, “Apa itu syirik kecil, wahai Rasulullah?” Baginda menjawap: “Riya

Selanjutnya, mari kita lihat bentuk-bentuk riya’ yang selalu membayangi amal kita.

a.Mengerjakan perbuatan dan amal kerana mahu dilihat oleh orang/seseorang
b.Berpura-pura penat kerana melakukan ibadah. Sebagai contoh, dalam satu perbualan, A mengatakan bahawa dia penat. B lalu bertanya kenapa. A kemudian menjawap: “Saya qiam sepanjang malam. Moga allah membalas saya dengan balasan yang lebih baik”. Ini adalah riya’ yang samar-samar.
c.Berpura-pura mengkhusyukkan diri dihadapan orang
d.Kita pada asalnya melakukan perbuatan kerana Allah, namun apabila dilihat orang, kita dengan semena-mena membagus-baguskan amal tersebut.Contoh, kita membaca al-quran, kemudian lalu seorang rakan, kita terus melagu-lagukan bacaan dengan nada lebih kuat dsb. Ini merupakan riya’ yang paling samar dan dasyat
e.Kita pura-pura khuyuk dihadapan orang dan apabila bersendirian, kita menambahkan kekusyukan dengan niat supaya kita tidak dicela kerana hanya khusyu’ dihadapan orang. Kenapa ini salah? Kerana kita seharusnya khusyu’ dengan kadar yang sama baik dihadapan orang mahupun tika bersendirian kerana kita melakukan amal, bukankah kerana Allah semata-mata?

Sulit bukan? Namun, bukanlah bermaksud setelah mengetahui tentang ini, maka kita mengurangkan amalan kita. Tidak. Kita seharusnya lebih peka dengan niat dan amal kita sekaligus sering mengkoreksi diri dalam melakukan sesuatu perbuatan supaya niat kita tetap pada jalan mencari redhaNya. Andai kita tersasar, segera hadapkan istigfar dan pohonlah keampunan dari Allah. Allah maha pengampun lagi penyayang.

INDIKATOR IKHLAS

Ok.Sekarang mari kita lihat, sama ada perbuatan kita selama ini termasuk dalam kategori ikhlas atau tidak. Berikut adalah beberapa ‘gambaran’ atau status yang menunjukkan kita ikhlas dalam amal kita.

1.Kita selalu mencurigai diri dan merasakan kita kurang melakukan sesuatu kewajipan. Sebagai contoh, sahabat Rasulullah, Saydina Umar yang dijamin masuk syurga, kerana terlalu takut, gelisah dan merasakan gusar berada dalam cengkaman riya’ hingga konon pernah mengatakan “Andai aku hanyalah satu bulu rambut didada Abu Bakar” “Andai kata ibunda Umar tak pernah melahirkan Umar”. Ikhlas menurutnya adalah jika kita selalu merasakan kehilangan pandangan keikhlasan!

2.Tidak tercari-cari pujian manusia. Ketahuilah rakan-rakan, jika pujian dan cacian dari manusia telah kita anggap sama dan sekata, tidak mendatangkan apa-apa akibat pada kita, maka kita benar-benar telah ikhlas kerana Allah.

3.Ketaatan kita tidak berubah meskipun orang-orang disekitar kita buruk. Ini yang sering terjadi. Kita kadang-kadang begitu taat dalam beragama ketika di universiti, halaqah, rakan-rakan seperjuangan dan persekitaran yang baik (bi’ah solehah) namun sering kecundang bila berada di persekitaran yang tidak membantu. Adakah kita taat kerana orang-orang disekitar kita atau kita taat kerana konsisten memegang perintah Allah? Ketuklah hati sendiri, tanyakan iman anda!

4.Niat telah menjadi paksi kepada kehidupan kita. Semua amalan dan perlakuan kita sehari-harian selalu sesuai dengan apa yang kita niatkan

5.Kita menyembunyikan kebaikan dan amal kita kecuali jika kepentingan untuk dijadikan sebagai pengajaran.

Mari kita sama-sama berdoa kepada Allah agar kita selalu muhasabah diri dan memperhatikan indikator ikhlas, supaya kita tetap ikhlas dalam setiap amal kita. Ada satu perkara yang perlu ditekankan. Beramal kerana manusia adalah riya’ ,namun meninggalkan amal kerana manusia juga adalah termasuk dalam riya’ dan riya’ juga adalah syirik!

RESEPI IKHLAS

Pembaca yang dikasihi,

Ikhlas itu adalah sesuatu yang muncul dari perasaan dan hati ketikamana kita dengan sepenuh raga menyahut dan melaksanakan perintah Allah dengan hati dan jiwa kita dipenuhi rasa cinta kepada Allah.

Agar kita tergolong dan dimasukkan dalam kalangan orang-orang yang ikhlas (Mukhlis),berikut adalah resepi yang dapat kita praktikkan.

1.Sentiasa menjaga niat dalam setiap amal
2.Selalu berdoa agar diberikan Allah nikmat keikhlasan
3.Mengamalkan salah satu zikir ma’thur yang diajarkan Rasulullah:”Allahumma innii a’udzubika min an usyrika bika syai’an a’lamuhu wa astagfiruka lima laa a’lam” (ya Allah, hamba memohon perlindungan kepada-Mu dari menyekutukan-Mu dengan sesuatu yang hamba tidak ketahui dan hamba mohon ampunan jika menyekutukan-Mu dengan apa yang tidak hamba ketahui)
4.Lakukan suatu kebaikan dengan tersembunyi yang tidak diketahui sesiapapun kecuali kita dan Allah
5.Selama mana kita berhasil memberikan hidayah pada orang melalui amal kita, maka tetaplah dengan amal itu dan jangan sembunyikannya kerana ia dapat menjadi teladan

Alhamdulillah, kita telah selesai mengupas satu bab yang sangat mengesankan dari tiga bab dalam buku ini. Saya tidak berhasrat menyambung penulisan dalam dua bab yang seterusnya kerana saya merasakan nanti mungkin wujud pelanggaran hak cipta selain bersikap tidak adil kepada penulis, penerbit dsb. Adalah lebih baik jika dapat dibeli bukunya jika anda benar-benar berminat untuk mengetahui tentang dua bab selanjutnya yang tidak kurang hebat dan kesannya.

Kalau bertemu dimana-mana, in sya Allah saya juga suka mahu berkongsi, ditanya aja yuk! =)

Moga dengan penulisan yang tidak seberapa ini, kita dipermudahkan allah untuk kekal ikhlas. Ayuh, sama-sama panjatkan doa agar diberikan Allah hidayah untuk berada bersama-sama angkatan mukhlisin. Mudah-mudahan amal kita diterima Allah.

Allahumma ameen

Astagfirullah
Astagfirullah
Astagfirullahal ‘azim

Mohon maaf salah dan silap
Wallahua’lam.Wassalaam

Wardah as-Syauk
26 Jamadil Awal 1429H
1 Jun 2008

***************************************************************************
Untuk manfaat sepenuhnya, disarankan membeli buku ini.

Judul Buku: Terapi Hati
Penulis: ’Amru Khalid
Penerbit (edisi terjemahan Bahasa Indonesia) : Penerbit Republika
Tahun: 2005
ISBN: 979-32-1050-8
Harga: RM22++ (Jika dibeli di Kinokuniya)
Halaman: 148

CONVERSATION

0 ulasan:

Back
to top