Pantun Moden

Usman Awang adalah salah seorang sasterawan tanahair. Menerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 1983, kecemerlangan sumbangan beliau terhadap kesusateraan Melayu diiktiraf pelbagai anugerah yang lainnya.

Dikenali dengan pelbagai nama pena seperti Adi Jaya, Manis, Setiabudi, Atma Jiwa, Zaini, U.A, Amir dan pelbagai lagi.Namun antara yang paling mashyur adalah Tongkat Warrant.

Berpeluang meneliti kembali buku beliau, menemukan dengan halaman yang memuatkan rangkap-rangkap pantun dahulu yang kemudian diolah semula dengam membawa nada ‘satira’ (sindiran). Ya, kalau direnung-renung kembali, memang banyak yang betulnya!

Justeru dipaparkan disini, moga ada kebaikannya.Cuma itu yang terkilannya, hurm…. kalau dibaca sebelum pilihanraya, sudah tentu hangatnya lebih terasa!

*************************************************************************************

PANTUN MODEN
(Dengan apologi kepada pujangga tak bernama, pencipta pantun aslinyaa)


Pisang emas dibawa belaya,
Masak sesikat di atas peti;
Hutang emas tidak terbayar,
Wang rakyat dibawa lari.

Harap-harap kelapa puan,
Tidak puan kelapa bali;
Harap-harap kepada kawan,
Kawan sendiri cabut lari.

Tudung periuk pandai menari,
Menari lagu putera mahkota;
Kain yang elok bawa kemari,
Untuk mengesat Proton Saga.

Nasi lemak buah bidara,
Daun ketupat saya lurutkan;
Tinggalkan emak tinggalkan saudara,
Kerana pangkat anakanda turutkan.

Inderagiri pasirnya lumat,
Kerang bercampur dengan lokan;
Bagaimana nabi kasihkan umat,
Begitulah saya kasihkan gelaran.

Apa guna kepuk diladang,
Kalau tidak berisi padi;
Apa guna hidup membujang,
Tidur malam syok sendiri.


Kiri jalan kanan pun jalan,
Di tengah-tengah pohon mengkudu;
Kirim jangan pesan pun jangan,
Sama-sama kepala batu.

Kajang tuan kajang berlipat,
Kajang saya mengkuang lama;
Dagang tuan dagang bertempat,
Dagang saya papa kedana.

Siakap senohong,
Gelama ikan duri;
Bercakap bohong,
Bolehkan jadi menteri?

Timang tinggi-tinggi,
Dapur tak berasap;
Bila besar nanti,
Duduk dalam lokap.

Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu;
Suruh makan tuan makan,
Suruh mengundi haram tak mahu.

Malam mengemping antan berbunyi,
Kukur kelapa bertih dikuali;
Orang miskin menanam padi,
Orang kaya datang mencuri.

Makan emping bergurau senda,
Makan bersantan gula kelapa;
Orang miskin teruk bekerja,
Orang kaya duduklah sahaja.

Tepuk amai-amai,
Belalang kupu-kupu;
Datuk-datuk makin ramai,
Malam-malam timang cucu.

Sayang tempua bersarang di batu,
Sayang cempaka dibuang layu;
Orang muda melepas rindu,
Orang tua menanggung malu.

1979/1984

*************************************************************************************

Judul Buku: Edisi Khas Sasterawan Negara – Koleksi Terpilih: Usman Awang
Penyelenggara: Dinsman
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Tahun: 1995
ISBN: 983-62-5148-0
Harga: Err...tak ingat.Dh lama sangat.Beli tahun 2000 kot.

CONVERSATION

0 ulasan:

Back
to top